Di sebalik Isra' Mikraj

2:17:00 PTG


Sewaktu hadirnya kesedihan di hati kekasih Allah, Muhammad Ya Rasulullah, sebuah peristiwa agung telah berlaku pada suatu malam di bulan Rejab menjadi perjalanan rohani terlihatnya Rasulullah akan kebesaran Allah. Peristiwa isra' mikraj yang berlaku diakhir Rejab itu tercatat dalam Al-Quran dalam Surah Al-Isra' dan Surah An-Najm. Hal Isra' dikisahkan melalui ayat Allah ini:


Maksudnya:
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Surah Al-Isra': 1

Manakala mikraj pula terdapat pada ayat-ayat berikut:


Maksudnya:
Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, (13) Di sisi "Sidratul-Muntaha"; (14) Yang di sisinya terletak Syurga "Jannatul-Makwa". (15)
Surah An-Najm: 13, 14 dan 15

Lantas surah Al-Isra', ayat 1 membawa pengertian yang mendalam dan akan dihuraikan satu persatu. Ayat ini dimulakan dengan ayat subhana (سُبۡحَـٰنَ), yang bermaksud Maha Suci Allah. Menurut Ulama' Ulumul Quran, jika terdapat ayat yang bermula dengan Allah memujiNya, setelah itu Allah akan menyampaikan suatu yang hanya dilakukan olehNya. Ini kerana peristiwa yang berlaku ke atas Rasulullah semasa Isra' ini tidak mampu dilakukan oleh manusia. Dan hanya dengan pertolongan dari Allah hal ini dapat dilakukan.

Seterusnya, bi'abdihi (بِعَبۡدِهِ) yang bermaksud hambanya. Yang dimaksudkan ini menunjukkan ia adalah Nabi Muhammad saw. Melalui ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa agama Islam berbeda dari Nasrani dan Yahudi yang menjadikan Nabi mereka sebagai tuhan. Walaupun Nabi Muhammad diberi tempat istimewa oleh Allah SWT, namun, Baginda tetaplah hanya sebagai hamba Allah.

Peristiwa isra' ini berlaku pada malam hari iaitu pada ayat laila ( لَيۡلاً۬). Sebahagian mufassirin (ahli tafsir) menyatakan bahawa peristiwa isra' ini terjadi pada malam hari sebagai ujian kepada Rasulullah. Pada waktu malam, pastinya tiada yang dapat melihat peristiwa yang berlaku keatas baginda. Oleh itu baginda mengharungi cabaran bagi menjelaskan peristiwa ini sedangkan tiada siapa yang menjadi saksi akan apa yang berlaku.

Dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa (مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا), pula membawa pengertian bahawa terdapat banyak Rasul yang dipilih Allah SWT menjadikan pusat dakwah mereka disitu (Palestin). Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa Nabi Muhammad bukanlah hanya ditugaskan berdakwah di Tanah Mekah, tetapi hingga ke Palestin.

Bumi Palestin (sekarang), ini merupakan tempat yang telah Allah berkahi (ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَ), dengan lahirnya ramai Nabi-nabi Allah bagi menyampaikan risalah wahyu. Di bumi tersebut lahirnya Nabi-nabi dari kalangan Bani Israil bermula dari keturunan Nabi Yaakub yang silih berganti menyampaikan firman tuhan.

Melalui ayat ( مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ), menjelaskan bahawa Allah meperlihatkan kepada Nabi Muhammad tanda-tanda kebesarannya. Sewaktu peristiwa isra' mikraj ini berlaku, Nabi Muhammad dalam keadaan bersedih kerana kehilangan dua orang yang baginda sayangi dalam tahun yang disebut 'tahun kesedihan' ('amul huzni).

Akhir ayat 1, Allah menjelaskan sifatnya yang Maha Mendengar akan segala penderitaan nabi saw, dan mengetahui akan segala sesuatu ( إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ).

Melalui sirah Nabi saw yang sampai pada kita ini, peristiwa penurunan perintah solat dan perjalanan yang dilalui pada Rasullah ini, benih-benih kecintaan haruslah wujud akan hati kita. Dan melalui solatlah hal bagi melahirkan rasa cinta tersebut. Setiap yang Allah perintah pasti ada hikmahnya.

Sewaktu Nabi saw, tiba di Masjid Al-Aqsa, Baginda ditemukan dengan Nabi -nabi terdahulu. Dan dari situ sedarilah kita bahawa setiap Rasul yang diwahyukan oleh Allah bagi menyampaikan risalah wahyu perhambaan diri hanya pada Yang Esa mengalami pelbagai cabaran dan dugaan. Ada yang hampir dibakar oleh kaumnya, dibunuh, dicerca dan pelbagai lagi cabaran yang dilalui oleh mereka hanya bagi menyeru kaum umat manusia kepada Allah SWT dan meninggalkan segala sembahan selain dariNya.

Oleh itu peristiwa isra' mikraj ini perlulah di soroti dengan pemahaman yang penuh agar melahir rasa ghairah untuk mengerjakan amal ibadat dan meninggalkan perkara yang dibenci Allah SWT. Janganlah biarkan ianya berlalu tanpa meninggalkan sebarang kesan atas diri kita.

Wallahu 'alam.


*Ringkasan taqlim Ustaz Dr Muchlis Abdi tanggal 21 Julai 2009.

You Might Also Like

0 maklum balas

Lama sangat tulis dalam kemaskini. Ape daa..

Fiqh Dakwah

1. Al-qudwah qabla dakwah
2. Ar-Ta’lif qabla ta’rif
3. At-ta’rif qabla taklif
4. At-tadarruj fi taklif
5. At-taisir la ta’sir
6. Al-Usul qabla furu’
7. At-targhib qabla tarhib
8. At-tafhim la al-talqin
9. At-tarbiyah la at-ta’riyah
10. Tilmizu imam la tilmiz kitab

Abdullah Nasih ‘Ulwan

“Usaha dan Jihad pemuda-pemuda merupakan suatu tenaga yang paling berpotensi bagi mengatasi dan memecah sebarang masalah. Usaha ke arah Keagungan dan Kegemilangan akan terkabul di tangan-tangan pemuda-pemuda Islam, bukan di kalangan orang yang tidak bermaya lagi tidak berpotensi. Sebagaimana kita semua ketahui, bahawa angkatan pemuda adalah merupakan suatu tenaga yang utuh, teguh andainya mereka ini diasuh dan ditarbiyah dengan tarbiyah Islamiah, hingga jiwa-jiwa mereka ini penuh padu keimanan dengan Allah s.w.t. Berteraskan dengan keimanan yang tulin sahajalah kedudukan ummah ini dapat ditingkatkan sampai menjadi suatu ummah yang aman makmur.”