Kita Berpolitik

12:44:00 PTG



Kebelakangan ini, status-status berkaitan politik di Facebook dan Yahoo Messenger seringkali mendapat perhatian saya. Dan saya seringkali akan cuba memberi pendapat. Walaupun hati saya sering berkata, 'Tidak perlu!'. Tapi minat saya terhadap hal-hal berkaitan politik seakan-akan muncul semula.

Ketika mendapat keputusan SPM dahulu, pernah bertanya,

“Mama, kalau nak ambil sains politik boleh tak?”

Emak hanya senyap. Tandanya kurang setujulah tu. Apa-apapun berkat pilihan ibu bapa tu yang penting.

Minat saya terhadap politik bermula sejak tahun 1999, ketika itu Pilihan Raya Umum ke -10. Kebetulan rumah saya hampir dengan tempat penamaan calon. Oleh itu, pernah secara senyap-senyap saya bersama rakan-rakan, pergi ke tempat tersebut.

Memang penuh orang. Minda anak berumur 10 tahun pastinya tidak dapat mentafsirkan apa yang sedang berlaku. Orang ramai berhimpun dalam kedudukan saling bertentangan. Satu pihak dengan seragam bewarna lain, satu lagi berwarna lain. Lantas saling bersorak dan mengibarkan bendera serta sepanduk.

Habis sahaja hari penamaan calon tu, ada pula hari untuk sesi pengundian.

“Eh, bukan hari tu dah pilihan raya ke?” Saya bertanya.

“Tak la, hari tu baru penamaan calon. Nak pilih calonkan wakil rakyat yang nak bertanding,” Ayah menjawab.

Baru saya memahami sedikit proses demokrasi negara ini.

Pernah juga pada tahun tersebut, ceramah meraih undi diadakan di padang bola kawasan perumahan saya (Bandar Baru Selayang). Semangat betul penduduk ketika tu. Hingga pernah jiran rumah yang berbangsa Cina menyatakan sokongan terhadap parti yang memperjuangkan Islam. Saya masih tidak mengerti apa-apa. Politik pada saya hanyalah kuasa dan kedudukan (pangkat).

Dan, seperti yang diketahui, zaman tersebutlah berlaku suatu era kebangkitan gelombang baru dalam politik negara. Laungan reformasi sudah menjadi halwa telinga. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi ikon reformasi sangat mengagumkan saya. Dengan dipecat dari jawatan kedua terpenting negara, dituduh dengan pelbagai tuduhan dan akhir sekali dihumban ke dalam jeriji besi. Tapi semangat beliau tidak pernah padam. Antara kata-kata beliau yang masih saya ingat adalah,

“Jika takut dengan risiko, jangan bicara tentang perjuangan.”

Semakin dewasa, saya melihat politik dalam banyak sisi yang berbeza. Datuk Seri Anwar Ibrahim memang pakar dalam selok belok politik negara. Tapi, bukan semua pendapat beliau perlu diambil tanpa dikaji atas rasa tanggungjawab. Begitu juga Tun Dr. Mahathir Mohammad, walaupun telah memerintah negara selama 22 tahun, tidaklah kita mendewakan setiap pandangan beliau.

Cuma bagi pendapat saya, untuk kita sebagai generasi muda, jika ingin bicara tentang politik, beberapa aspek perlu kita teliti. Antaranya:

Baca dan teliti pendapat dari kedua-dua belah pihak
Media utama negara adalah akhbar dan televisyen. Sukar untuk kita nafikan kedua-dua media ini dimonopoli dengan pengaruh parti pemerintah masa kini. Oleh itu, jika anda mahu mendapatkan maklumat yang adil, biasakanlah membaca akhbar-akhbar dari parti oposisi juga. Jika anda katakan akhbar mereka banyak mengeji dan mencela, pertama sekali sedarkan diri kita dahulu, bahawa pada akhbar pro-parti pemerintah juga begitu. Tidak percaya? Anda semak mengenai isu yang melanda kini. Berapa banyak berita yang membela Menteri Besar Kelantan? Silap-silap, tiada langsung. Sedangkan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga merupakan pemimpin rakyat yang dipilih berdasarkan sistem demokrasi yang sah negara ini.

Selain itu, gelombang baru yang muncul adalah dengan munculnya blog-blog politik. Bacalah ia sekadar sebagai pengetahuan bukanlah ilmu.

Banyakkan membaca sejarah Malaysia dari beberapa sumber
Banyak isu yang timbul kini jika dilihat kembali melalui cermin sejarah, ia seakan-akan berkaitan dan berulang kembali. Isu perjuangan Bahasa Melayu, ia bukan isu baru. Isu ini sudah lama diketengahkan terutama oleh organisasi-organisasi mahasiswa dahulu. Kerana itulah, mahasiswa Malaysia ketika itu menyumbang banyak dalam dasar-dasar negara, biarpun masih berstatus mahasiswa.

Isu 13 Mei, Komunis dan pelbagai lagi. Kaji kembali. Jika kita lihat dalam buku teks sejarah, isu-isu sejarah negara sangat indah. Jika ada krisis pada parti pemerintah, tidak sedikitpun dicatatkan. Untuk meningkatkan kesedaran sejarah awal Malaysia, saya cadangkan membaca berkaitan politik mahasiswa negara, sejarah 13 Mei dan 10 tahun sebelum merdeka.

Pernahkah anda tahu Tun Dr. Mahathir Mohammad merupakan antara penentang Tunku Abdul Rahman hingga menyebabkan beliau dipecat dari UMNO dan buku beliau bertajuk Dilema Melayu diharamkan? Tahukah anda, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah mengetuai bantahan (ketika itu beliau masih lagi mahasiswa) terhadap buku karya Tunku Abdul Rahman bertajuk 13 Mei Sebelum dan Selepas, kerana buku tersebut mempunyai fakta yang tidak tepat serta bersifat perkauman? Pertanyaan ini hanya mencetus rasa ingin tahu.

Keluarkan pendapat atas dasar tanggungjawab
Sebelum keluarkan sebarang pendapat, fikirkan bahawa setiap kata-kata itu merupakan tanggungjawab kita untuk melaksanakan juga. Tujuannya, agar kita tidak menuturkan suatu fitnah dan kita tidak menjadi seorang yang mulut lebih bijak dari tangan dan kaki (berkata banyak, tapi bergeraknya tidak).

Bagi pelajar yang mendapat pinjaman dari kerajaan, perlulah dihisab pada setiap pembelanjaan kita itu adalah amanah dari seluruh rakyat Malaysia. Jangan pula sibuk memperkatakan pemimpin itu korupsi wang rakyat, tapi bila cermin pada diri, kitapun telah gunakan wang rakyat atas nafsu kita semata-mata.

Politik adalah cabang dari agama
Bila ditanam pemikiran ini, maka kita tidak akan sekali-kali cuba memisahkan politik daripada agama. Janganlah sampai kita termasuk dalam kelompok yang mengambil agama separuh dan separuh lagi ditinggalkan (QS 2: 208-209).

Saya kesal apabila terdapat terlihat video pendapat rakyat mengenai Pilihan Raya DUN Bagan Pinang mengenai pemilihan pemimpin. Bagaimana seorang Pak Cik boleh mengatakan tidak kisah akan pemimpin rasuah, “asalkan perut kenyang, anak cicit dapat hidup senang, kereta dapat pakai...”. Di mana ciri-ciri pemimpin Islam yang mereka pilih?



*Setiap lingkungan kita terdapat pengaruh politik. Termasuklah dalam organisasi mahasiswa yang terdapat disini iaitu UMSA, PKPMI dan KUJ.

**Ini hanya pendapat peribadi. Jangan terima bulat-bulat. Teguran sangat dialu-alukan.

You Might Also Like

0 maklum balas

Lama sangat tulis dalam kemaskini. Ape daa..

Fiqh Dakwah

1. Al-qudwah qabla dakwah
2. Ar-Ta’lif qabla ta’rif
3. At-ta’rif qabla taklif
4. At-tadarruj fi taklif
5. At-taisir la ta’sir
6. Al-Usul qabla furu’
7. At-targhib qabla tarhib
8. At-tafhim la al-talqin
9. At-tarbiyah la at-ta’riyah
10. Tilmizu imam la tilmiz kitab

Abdullah Nasih ‘Ulwan

“Usaha dan Jihad pemuda-pemuda merupakan suatu tenaga yang paling berpotensi bagi mengatasi dan memecah sebarang masalah. Usaha ke arah Keagungan dan Kegemilangan akan terkabul di tangan-tangan pemuda-pemuda Islam, bukan di kalangan orang yang tidak bermaya lagi tidak berpotensi. Sebagaimana kita semua ketahui, bahawa angkatan pemuda adalah merupakan suatu tenaga yang utuh, teguh andainya mereka ini diasuh dan ditarbiyah dengan tarbiyah Islamiah, hingga jiwa-jiwa mereka ini penuh padu keimanan dengan Allah s.w.t. Berteraskan dengan keimanan yang tulin sahajalah kedudukan ummah ini dapat ditingkatkan sampai menjadi suatu ummah yang aman makmur.”