Alhamdulillah, selesai

5:26:00 PTG



Alhamdulillah, penglibatan saya dalam persatuan sudahpun selesai pada bulan Mei lepas.

Sewaktu awal-awal ke sini, belum sempat mengenal kota Jakarta, sudahpun terjun ke dunia persatuan. Bulan Ogos 2008, saya tiba di bumi Jakarta, April 2009 pula, menjawat jawatan kedua tertinggi dalam persatuan. Tak sempat untuk belajar satu persatu langkah.

Pengalaman.

Dahulu ketika di matrikulasi, saya memang 'gila' dengan pengalaman. Segalanya saya mahu terlibat. Suruhanjaya Pilihanraya, Ahli Jawatankuasa JPP, Exco Kelab Sahabat, Ketua Protokol Makan Malam DMK dan Fasilitator bagi Minggu Pengurusan Pelajar Baru.

Namun, perlu diingat, ia hanyalah TAKHLIF, bukannya TASYRIF.

Takhlif bermakna tanggungjawab dan amanah, manakala tasyrif pula bermaksud kebanggaan. Antara takhlif dan tasyrif, pilihlah yang mana kita mahu.

Teringat pesan sahabat ketika di matrik dahulu. Kita mulakan sesuatu memang sudahpun awali dengan niat yang baik, namun dalam perjalanan, boleh jadi niat kita tersasar dari niat asal kita. Qalbu ini, mudah berubah. Apabila sedar akan niat yang telah tersasar, cepat-cepat beristighfar, dan betulkan kembali niat kita

Sepanjang penglibatan dalam persatuan, pastinya banyak kekurangan sama ada yang saya sedari mahupun tidak. Atas dasar itu, saya mohon maaf buat kalian semua.


Berikut merupakan teks ucapan semasa Mesyuarat Agung Tahunan kelmarin. Moga dapat difahami bersama.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi, atas limpah rahmat-Nya, dapat kita bertemu dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Jakarta (PKPMI-CJ) Kali Ke-41 pada hari ini.

Para hadirin yang dihormati,

Pertamanya, saya mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa PKPMI Cawangan Jakarta Sesi 2010/2011, mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran ke mesyuarat kali ini. Sebagai sebuah organisasi rasmi yang bernaung di bawah Education Malaysia, PKPMI-CJ merupakan suatu badan yang bertanggungjawab dalam menjaga dan memartabatkan kebajikan serta hak mahasiswa Malaysia di Indonesia. Oleh itu, peranan ahli PKPMI-CJ sangatlah penting dan ianya menjadi tonggak utama bagi menentukan keberhasilan persatuan.

Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Jakarta (PKPMI-CJ) Sesi 2010/2011 mengetengahkan tiga prinsip utama dalam pengurusan persatuan, iaitu Kebajikan, Ukhuwwah dan Hikmah. Ketiga-tiga prinsip merupakan batu asas bagi menjadikan PKPMI-CJ tetap relevan dikalangan mahasiswa Malaysia di Indonesia. Prinsip-prinsip tersebut juga, merupakan hasil garapan Perlembagaan PKPMI melalui Bab II, Fasal 4; yang mengetengahkan tujuan-tujuan penubuhan PKPMI ini.

Rakan-rakan pelajar yang dihormati,

Sepanjang tempoh setahun ini, PKPMI-CJ Sesi 2010/2011 telahpun menjalankan pelbagai aktiviti yang bertunjangkan beberapa objektif. Dalam menentukan pengurusan aktiviti-aktiviti PKPMI-CJ, perkara utama yang dititik beratkan adalah memastikan ianya berorientasikan objektif, bukannya berorientasikan program. Ini kerana, setiap program-program ini hanyalah wadah dalam menyampaikan maksud tujuan PKPMI-CJ.

Dalam dunia pengurusan, istilah yang disebut sebagai Management by Objectives (MBO) ataupun ‘Pengurusan melalui Objektif’ sering digunakan. Hal ini penting bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan mempunyai tujuan untuk dicapai dan bukanlah sekadar memenuhkan takwim tahunan persatuan. Kerana itulah, aktiviti demi aktiviti yang dijalankan oleh PKPMI-CJ sesi ini mensasarkan matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang melalui setiap program.

Antara program-program yang telah dijalankan oleh PKPMI-CJ sesi ini adalah Bengkel Gerak Kerja Ahli Jawatankuasa PKPMI-CJ, Peduli Palestin: Kami Bersamamu!, Foods Of Love, Majlis Berbuka Puasa Amal Bersama Anak Yatim, Pertandingan Bowling Piala Pengarah JPMI Kali Ke-2, Mini Seminar Quilling, Malaysian Festival (MaFest '10), Seminar Pengurusan Jenazah, Kejohanan Futsal Piala Dato' Duta Kali Ke -3 dan Seminar Fly High 2011.

Melalui pengamatan saya sepanjang setahun dalam PKPMI-CJ, program-program yang bersifat mencari kerehatan minda lebih mudah untuk menarik perhatian para pelajar, berbanding program-program yang bersifat mencungkil tanggungjawab akal. Perkara ini perlulah disemak kembali dalam diri setiap pelajar. Fenomena ini kerap kali disebut sebagai ideologi ‘aku-tidak-pedulisma’.

Hal yang paling ketara bagi kelompok ‘aku tidak pedulisma’ ini adalah budaya hedonisma. Hedonisma yang sepatutnya menjadi gejala golongan yang tidak berpendidikan dan rendah moral, telahpun menjalar masuk ke celah-celah golongan siswazah dan intelek. Ia adalah budaya cinta dan ketagih hiburan. Apa yang dimahukan hanyalah unsur-unsur yang membawa cuti minda, atau mungkin berakhir dengan kematian idealisma dan erti hidup. Oleh itu, saya berharap agar hal-hal ini dapat dicermati melalui kebersamaan para pelajar kepada persatuan.

Rakan-rakan pelajar yang dihormati,

Pencapaian suatu organisasi amat bergantung kepada penglibatan ahli. Organisasi bukanlah diuruskan oleh barisan Majlis Tertinggi sahaja, namun ianya memerlukan bantuan dan masukan daripada ahli. Oleh itu, PKPMI-CJ telahpun menyediakan pelbagai medium bagi para pelajar memberi komen dan masukan. Antaranya melalui blog, facebook, formspring, email dan juga melalui wakil-wakil Ahli Jawatankuasa PKPMI-CJ setiap universiti. Kesemua medium ini merupakan wadah bagi kami di kalangan pengurusan, mendapat maklum balas daripada pelajar. Diharap wadah ini dapat diteruskan oleh pengurusan sesi hadapan disamping para pelajar dapat mengoptimumkan wadah yang disediakan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi diucapkan terima kasih buat para pelajar yang hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PKPMI-CJ Kali Ke-41 pada hari ini. Gunakan kesempatan ini untuk anda bersuara, melahirkan pendapat, memberi masukan dan kritikan yang membina.

Bersama-sama kita menjayakan Mesyuarakat Agung Tahunan PKPMI-CJ Kali Ke-41 ini.

Sekian, terima kasih.

AHMAD FARID ASYRAF BIN RAMLI
Yang Dipertua,
Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia
Cawangan Jakarta
PKPMI-CJ Sesi 2010/2011


Hari ini telahpun 4 Rejab. Kurang dari dua bulan lagi, Ramadhan akan tiba. Sudah bersiapkah kita?

Moga, diri ini diberi kesempatan sampai ke bulan Ramadhan-Mu Ya Allah.


Amiiin. :)

You Might Also Like

0 maklum balas

Lama sangat tulis dalam kemaskini. Ape daa..

Fiqh Dakwah

1. Al-qudwah qabla dakwah
2. Ar-Ta’lif qabla ta’rif
3. At-ta’rif qabla taklif
4. At-tadarruj fi taklif
5. At-taisir la ta’sir
6. Al-Usul qabla furu’
7. At-targhib qabla tarhib
8. At-tafhim la al-talqin
9. At-tarbiyah la at-ta’riyah
10. Tilmizu imam la tilmiz kitab

Abdullah Nasih ‘Ulwan

“Usaha dan Jihad pemuda-pemuda merupakan suatu tenaga yang paling berpotensi bagi mengatasi dan memecah sebarang masalah. Usaha ke arah Keagungan dan Kegemilangan akan terkabul di tangan-tangan pemuda-pemuda Islam, bukan di kalangan orang yang tidak bermaya lagi tidak berpotensi. Sebagaimana kita semua ketahui, bahawa angkatan pemuda adalah merupakan suatu tenaga yang utuh, teguh andainya mereka ini diasuh dan ditarbiyah dengan tarbiyah Islamiah, hingga jiwa-jiwa mereka ini penuh padu keimanan dengan Allah s.w.t. Berteraskan dengan keimanan yang tulin sahajalah kedudukan ummah ini dapat ditingkatkan sampai menjadi suatu ummah yang aman makmur.”